DOA DI PAGI AHAD - buat dua kekasih|Sunday, July 15, 2007
(I) KepadaMu
Aku merasakan diriku ini kian kerdil di hadapan mata-mata yang melihat. Sekali terpikat.
Di hadapan mata-mata yang memerhati. Sekali mengerti. Di hadapan mataMu yang sentiasa mengawasi diri ini yang kaku berdiri, berjalan tanpa erti.
Habuk-habuk dosa sering menghinggapi diri ini bak unggas kecil yang menggigit bisa. Cakaran dosa tetap mengguris waktu hidup bertuhankan nafsu sinis. Diri kian kotor, diri kian keji. Namun selagi roh ditanggung badan, diri megah di dunia berjalan tanpa silu dan segan.
Namun, aku menangis setiap malam. Mengharap dan menagih agar air tangisanku ini, walaupun berdebu, tetap dapat dijadikan wuduk kepada diri yang kurang sempurna. Adakah masih ada ruang untukku untuk menginap di syurgaMu, selepas dunia bergoncang dan angin bertukar arah?
Tiada tempat bagiku untuk mengadu betapa aku merindukan KasihMu. Mungkin tiada yang memahami betapa aku mendambakan pelukanMu. Setiap saat aku bernafaskan udaramu, setiap langkah aku berjalan di muka bumiMu, setiap titik hujan yang menitis di atas tubuhku, aku tahu Kau berada di situ. Tetapi mungkin mataku kelam. Tetapi mungkin hatiku tiada terang.
Aku tahu siapa diriku ini. Betapa kecil dan keji. Aku manusia sombong. Aku sering meminta daripadaMu tanpa membalas dengan semua suruhanMu. Aku malu setiap kali aku dirundung pilu, aku terus lari untuk mencariMu. Aku memintakan kebahagiaan. Aku mendambakan kasih sayangMu, tanpa rasa segan dan silu. Aku terus mencariMu, walau bahu ini berat dengan sisa-sisa dosa.
Aku bermohon janganlah Engkau palingkan mukaMu daripadaku. Pimpinlah aku kerana aku ingin dikasihiMu. Setiap hari aku mencari Kasih Sayang dan Ketenangan. Apabila aku terjumpa, aku genggam erat. Tetapi, lagi kuat genggamanku, semakin cair Kasih Sayang dan Ketenangan itu lalu aku hampir kehilangan mereka berdua. Aku hilang. Hilang sebegitu sahaja. Dapatkah aku mencari Mereka?
(II) Kepadamu
Apakah itu yang dikatakan Cinta dan Sayang? Apakah perasaan yang aku alami ini? Aku tidak memahaminya. Aku tidak mengenalinya kerana mungkin ini kali pertama. Perasaan ini menyeramkan. Kerana sering diselaputi rindu yang teramat sangat.
Apakah itu rindu...kerana gigitan rindu itu meninggalkan kesan yang berdarah. Mungkin pernah aku bercinta, tetapi kali ini, pengalamannya berlainan. Kata-katamu sering ku ingat. Bahawa cinta dengan sayang itu hakiki. Kenapa aku takut kehilanganmu. Itu aku tidak mengerti.
Apakah aku menyayangimu? Mungkin. Aku hanya takutkan satu. Takut perasaan sayang yang aku rasakan sekarang ini menjadi terlalu sayang. Sehinggakan aku tidak mengenali erti benci. Terlalu sayang sehingga setiap udaramu menjadi udaraku. Terlalu sayang sehingga setiap titik darahmu menjadi titik darahku. Terlalu sayang sehingga setiap kuman yang menjangkitimu akan menjangkitiku juga.
Apakah itu yang dikatakan Cinta dan Sayang, wahai Sayangku.
* spoken&willspeakagain*
9:37 AM